Adab - Adab Berpuasa | Tips Puasa di Bulan Ramadhan
Selain dari amalan ibadat wajib dan sunat yang diperbanyakkan di dalam bulan Ramadan, kita perlu
menjauhi perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia.
Pertama
Hendaklah mengelak pandangan ke tempat-tempat yang dilarang, setengahnya pergi lebih jauh iaitu
melarang melihat walaupun isteri sendiri dengan pandangan bernafsu, apatah lagi wanita-wanita lain.
Begitulah juga melihat perbuatan-perbuatan maksiat atau jika maksiat itu dilakukan, hendaklah dijauhi
daripadanya.
Rasulullah (saw) bersabda: "Pandangan adalah seumpama anak panah daripada syaitan. Barangsiapa
takut kepada Allah, jauhilah dirinya daripada melihat kepada maksiat. Maka Allah mengurnia-kannya
dengan suatu (cahaya iman) yang kemanisan dan keghairahannya akan terasa di hati.”
Kedua
Jagalah lidah daripada berdusta, perbualan yang sia-sia, mengumpat, hujjah-menghujjah, bersumpahsumpah
dan sebagainya. Pada zaman Rasulullah (saw), dua orang wanita sedang berpuasa dan tidak
dapat menahan keperitan kelaparan, sehingga kedua-duanya hampir maut. Para sahabat membawa
berita ini ke pengetahuan Nabi (saw), lantas baginda mengirimkan sebuah mangkuk dan menyuruh
mereka muntah ke dalamnya. Apabila kedua-duanya memuntahkan isi perut mereka ke dalam mangkuk,
maka keluarlah ketulan-ketulan daging mentah dan darah. Para sahabat terperanjat besar, lalu sabda
Rasulullah (saw): "Mereka berpuasa dengan makanan yang halal tetapi mereka mengumpat semasa
sedang berpuasa, maka keadaan puasa mereka menjadi semakin payah. " Oleh sebab itulah kedua-dua
wanita itu hampir-hampir menemui maut.
Salah seorang sahabat Nabi (saw) bertanya: "Apakah itu mengumpat?" Rasulullah (saw) menjawab:
"Menyebut sesuatu mengenai saudaramu di belakangnya yang dia tidak suka." Selanjutnya Sahabi itu
bertanya: "Dan masihkah dikatakan mengumpat sekiranya apa yang disebutkan mengenainya itu benar
terdapat padanya?" Rasulullah (saw) menjawab: "Dalam hal demikian (iaitu jika yang disebutkan itu
memang benar) maka sebenarnya itulah mengumpat; tetapi jika apa yang disebutkan itu palsu, maka
kamu telah memfitnahnya."
Ketiga
Hendaklah kita berjaga-jaga daripada mendengar sesuatu yang makruh. Samalah juga haram
mendengar kepada sesuatu yang tidak sepatutnya disebutkan. Rasulullah (saw) telah bersabda:
"Mengenai mengumpat, kedua-dua pengumpat dan orang yang mendengar keadaannya adalah sama
berkongsi dosa."
Keempat
Lain-lain anggota jasad hendaklah dijauhi daripada dosa dan perkara-perkara yang haram. Tangan
jangan menyentuhinya dan kaki janganlah berjalan ke arahnya. Mengenai perut, hendaklah berhati-hati
agar ketika mengambil makanan, khasnya semasa berbuka (iftar), tidak ada yang memasukinya daripada
sesuatu yang diragu-ragukan sama ada halal atau tidaknya. Seumpama orang yang berpuasa yang
kemudian semasa berbuka, memakan benda yang haram adalah seperti orang yang sakit memakan ubat
tetapi mencampurkannya juga dengan sedikit racun yang akan membinasakannya.
Kelima
Tidaklah digalakkan memakan sekenyang-kenyangnya semasa iftar walaupun makanan itu halal kerana
maksud daripada puasa kita tidak akan tercapai. Tujuan puasa adalah untuk mengekang nafsu syahwat
kita dan meninggikan keyakinan serta memperkuatkan rohaniyah kita. Selama sebelas bulan kita makan
dan minum dengan sebebas-bebasnya, maka pada bulan Ramadan, patutlah kita mencerut sedikit perut
kita. Selalunya, kita menjadikan tabiat buruk dengan memenuhkan perut kita sepenuh-penuhnya semasa
iftar dan sekali lagi menyumbatnya tatkala bersahur sebagai persiapan menghadapi siang harinya. Maka
sebenarnya kita menambahkan purata makanan kita. Dalam Ramadan, jenis makanan yang kita makan,
tidak pernah dimakan pada masa-masa lain. Pemakanan yang begitu sebenarnya bertentangan sama
sekali dengan semangat Ramadhan dan berpuasa. "Syaitan mengalir ke dalam jasad kita seperti darah,
maka tutuplah jalannya dengan berlapar."
Begitulah juga, perasaan akan dapat dipupuk terhadap si miskin dan orang yang lapar. Nabi saw kita
sendiri bersabda: "Tidak ada yang lebih dibenci oleh Allah (swt) selain sesuatu yang diisi penuh iaitu
daripada memenuhi perut dengan makanan." Pada ketika yang lain, Rasulullah saw bersabda:
"Memadailah beberapa suap makanan yang dapat meluruskan belakang, satu pertiga dengan minuman,
sedang satu pertiga lagi dibiarkan kosong."
Keenam
Selepas menjalani puasa, hendaklah selalu berasa bimbang sama ada puasanya diterima Allah ataupun
tidak. Beginilah hendaknya dilakukan kepada semua bentuk ibadah. Seseorang itu mungkin tidak
menyedari bahawa bahagian-bahagian yang penting tertinggal. Hendaklah berasa takut-takut mungkin
amalan-amalan kita akan ditolak oleh Allah. Peristiwa-peristiwa begini banyak diriwayatkan dalam hadis.
Maka seseorang yang berpuasa bukanlah setakat berpuasa dengan ikhlas tetapi hendaklah dengan
pengharapan agar puasanya diterima oleh Allah (swt).
Enam perkara yang disebutkan di atas adalah wajib bagi orang-orang yang benar-benar bertaqwa.
Kepada yang lebih bertaqwa lagi, perkara yang
ketujuh
Ditambah lagi kepadanya. laitu, semasa menjalani puasanya, janganlah dia bimbang apa yang hendak
dimakan sewaktu berbuka. Sebahagian Syeikh-syeikh sampai menganggapnya sebagai batal apabila
memikirkan mengenai makanan untuk berbuka ataupun seseorang itu berusaha untuk memperolehi
sesuatu, kerana perlakuan yang demikian menggambarkan kelemahan keyakinannya terhadap janji Allah yang mengambil tanggungjawab untuk memberi rezeki.
0 komentar:
Posting Komentar